SELAMAT DATANG

Cari Blog Ini.....

Wednesday, November 3, 2010

PARU-PARU

Paru-paru merupakan sepasang organ yang terletak di dada yang berfungsi untuk pernafasan iaitu proses pertukaran karbon dioksida dengan oksigen dari udara.  Paru-paru terletak di dalam rongga vakum. Oleh sebab itu, apabila dada mengembang semasa menarik nafas, paru-paru juga turut mengembang.  Sebaliknya pula sewaktu menghembuskan nafas, dada mengecil maka paru-paru turut menguncup.  Paru-paru adalah lembut dan berongga. Beratnya lebih kurang satu kilogram. Pada paru-paru kiri terdapat dua lobus dan paru-paru kanan mempunyai tiga lobus.
            Salur udara bermula dari trakea.  Di dinding dalam trakea, terdapat sel-sel epitilium yang memerangkap habuk.  Terdapat juga kelenjar perembes mukus yang berperanan membersihkan udara sedutan yang memasuki paru-paru.  Trakea bercabang membentuk bronkus kanan dan kiri dan dilapisi oleh tisu epitilium.  Di permukaan epitilium, terdapat unjuran rambut yang halus dan berfungsi menghalang zarah-zarah kecil seperti habuk dan debu daripada memasuki paru-paru. 
            Daripada bronkus, salur udara terus bercabang sehingga akhirnya membentuk bronkiol iaitu salur udara paling halus. Pertukaran gas hanya berlaku dikantung udara yang dikenali sebagai alveolus. Jumlah alveolus pada manusia yang sihat kira-kira 250 juta, yang jika dibentangkan boleh mencakupi keluasan separuh padang tenis atau kira-kira 80 kali luas permukaan tubuh badan. 
            Setiap alveolus dikelilingi oleh banyak kapilari darah. Melalui kapilari ini, darah membebaskan karbon dioksida ke dalam alveolus dan akhirnya dihembus keluar.  Pada waktu yang sama, darah kapilari yang mengandungi hemoglobin mengikat oksigen dari udara sedutan untuk dibawa ke sel-sel tubuh.  Di sel tubuh, oksigen dilepaskan dan digunakan oleh sel-sel tersebut bagi menghasilkan tenaga, sementara karbon dioksida dihasilkan.  Karbon dioksida ini seterusnya di hantar ke paru-paru untuk dihembuskan.



No comments:

Post a Comment